Sabtu, 3 Oktober 2009

Dr. M syor tahanan ISA satu tahun

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan supaya tempoh minimum penahanan pesalah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipendekkan kepada satu tahun berbanding dua tahun seperti diamalkan sekarang.

Beliau berkata, kajian setiap enam bulan juga perlu dilakukan oleh pihak yang berkelayakan sebagai langkah menepati hak-hak asasi manusia.

"Walaupun ISA perlu dilaksanakan di Malaysia sebagai satu undang-undang preventif, ia masih perlu dikaji semula.

"Perlu juga ada peraturan jelas tentang bila ia perlu digunakan. Kita tidak mahu menahan seseorang selama tiga hari di bawah ISA dan kemudian membebaskannya atas alasan demi keselamatan tahanan," katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian melalui entri blognya, www.chedet.co.cc/chedetblog/ sebagai mengulas kenyataan banyak pihak sejak kebelakangan ini mengenai ISA.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Malaysia masih memerlukan undang-undang preventif itu kerana tanpanya dikhuatiri akan berlaku ancaman perkauman yang mengganggu gugat kestabilan negara berbilang kaum ini.

"Sikap perkauman ekstrem itu mampu membawa kepada keganasan yang kita harus elakkan. Kita mesti menilai kestabilan yang dimiliki ini bagi menentukan pembangunan negara dapat berjalan lancar.

"Bolehkah ISA digantikan dengan perbicaraan mahkamah? Di Malaysia mengambil masa yang lama untuk menjatuhkan hukuman, mungkin berbulan atau bertahun dan keganasan kaum mungkin tidak dapat dielak sebelum itu," katanya.

Beliau berkata, perlu diingatkan bahawa ISA adalah satu bentuk undang-undang preventif di mana pesalah ditahan sebelum sesuatu jenayah dilakukan.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, walaupun ISA digunakan demi keselamatan negara, ia juga sebelum ini digunakan bagi menahan individu yang menentang kerajaan secara politikal.

Dr. Mahathir turut mengakui memang benar beliau pernah menggunakan ISA untuk menahan beberapa orang ketika Ops Lalang pada 1987 dilaksanakan.

"Tetapi ia bukan kerana mereka itu adalah ahli parti pembangkang. Pihak polis ketika itu memberitahu saya tanda-tanda tercetusnya pertelingkahan kaum ekoran isu pendidikan kaum Cina dan hasrat beberapa ahli UMNO untuk membuat demonstrasi besar-besaran ketika itu.

"Mereka yang ditahan ketika itu bukan hanya ahli pembangkang tetapi ahli UMNO juga. Sebaik ancaman itu tiada lagi, semua tahanan ISA itu dibebaskan. Ia bukan isu politik pembangkang tetapi ancaman kepada keselamatan negara," katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.